Posts Tagged ‘raya’

Post raya blues- masih?

Masa kecil dahulu, saya dan kakak akan duduk di tangga rumah pada petang raya dan merenungkan kesedihan kami. “Masa petang rayalah masa paling tak best” kata saya yang kecil dahulu; “Sebab ni lah masa yang paling lama sekali untuk sampai pula ke raya yang lagi satu”. Maka kami berdua pun ‘melengung’ bersedih bersama-  sambil mengingat-ingatkan jumlah duit raya sebagai penghibur.

Masa berlalu, dan tidaklah saya bersedih menunggu raya yang paling lama akan tiba- kerana pada usia 48,  ramadhan yang di dambakan, dan saya juga tahu- jika dipanjangkan umur,  Rejab akan menjelang esok lusa. Semoga tabiat baik yang belum berjaya dimantapkan pada ramadhan yang lalu, mampu diterapkan sedikit demi sedikit sebelum Rejab menjelma dengan lajunya.

Namun perasaan sedih dan ‘kosong’  tetap datang mengikut jadual – dan saya mengharap pada usia sepatutnya sudah matang, saya mampu menanganinya dengan cara yang lebih baik sedikit dari semasa saya berumur lapan tahun.

Perasaannya tidak datang pada petang  raya. Ia tiba sedikit pada petang pengakhir ramadhan semasameningatkan peluang mengaut pahala berganda sudah ditutup. Menyesali tabiat yang masih belum mampu dimantapkan dan memujuk hati mengingatkan beberapa tabiat yang sudah tertanam. Namun review ini berlaku laju dan ringkas dalam keriuhan bersalaman dan bertanya khabar  saudara yang jauh yang sama-sama berkumpul di rumah ibu. Terbang melintasi fikiran wajah-wajah arwah. ayah (dengan wajah rekaan sendiri kerana beliau meninggal semasa saya bayi), nenek- semasa wajah ceria beliau, ibu dan ayah mertua- tak sempat pun menghadiahkan fatihah pada detik tersebut- sekadar perasaan puas hati kerana menjangkakan mereka beroleh manafaat dari sedekah-sedekah disepanjang ramadhan. Agaknya begitulah ingatan anak-anak kepada kita nanti di akhir ramadhan. Maka nadiyah dan bakal bakal mayat semua- carilah bekal akhirat sendiri agar dapat pahala mengalir sendiri, dan berharaplah  belas ehsan dari Allah. Janganlah kita meletakkan pergantungan untuk sedekah dari anak-anak kelak!)

Berbalik ke perasaan sedih- ia juga tidak datang pada petang raya lagi, kerana tiga empat hari sibuk dengan urusan silaturraheem, abang akak sendiri, anak-anak menantu, kawan lama sekampung yang baru berjumpa semula, saudara serumpun yang perlu dikenal semula anak cucu mereka kerana masing-masing bertambah ahli.

Post raya blues sekarang tiba  pada hari anak-anak dewasa pulang semula ke tempat mereka.

Kakak Iman sudah menaiki keretai  malam semalam, Abang Mat, Kakak Najat n incoming baby akan menaiki feri pagi ni. Isa dan Ibrahim  sudah diarah mengemas beg untuk ke asrama masing-masing – mereka sedang berlumba ‘last kopek’  me laptop. Hikmah – pembantu akademik – sedang naik bas menuju ke sini. Anak raya pulang ke tempat kerja. Anak kerja pula meninggalkan ibu bapa dan kembali ke ibu kerja mereka. Hidup kembali ke rutin asal.

Saya memproses kesedihan ini.

Tidaklah pada umur ini menyesali keseronokan yag berlalu kerana raya bagi dewasa sangatlah meletihkan dan lebih kerap mengundang ‘escapism’ ke celah mana-mana ruang untuk mencuri tidur sebelum dipanggil menyelamatkan dari kerenah anak, membancuh air tamu, atau bersosial melayan tamu.  Pulang ke rutin kerja juga tidak pernah membosankan kerana  bagi dewasa – kerjalah mainan kita.

Saya kira ia bukannya kesedihan merenungkan sambutan raya berlalu, tetapi syahdu yang timbul pada masa transisi. Masa-masa begini mengingatkan kita tentang lajunya berlalu masa- dan kita mengukur apakah kita telah menggunakan sepenuhnya untuk memenuhi tujuan asal hidup – untuk berjuang mendapatkan keredhaan Allah dan bersama seramainya selamat  jika ditempatkan di syurga kelak.

Adakah anak-anak dewasa saya sedar akan tujuan hidup, atau adakah mereka terleka mengejar dunia? Adakah kita juga serupa dengan mereka? Tidak mustahil kita sedang menangisi orang lain bermimpi- sedangkan rupanya, kita juga sedang dalam mimpi. Adakah anak-anak kecil mampu membentuk diri mereka sehingga boleh menjadi dewasa Muslim yang akhirat conscious? Semua ini, telah terluut sebentar semasa ramadhan dalam kesibukan mengatur jadual hidup padat ramadhan, terlupa juga pada saat menyambut aidil fitri dengan kesibukan menguhubungkan silaturrahim berselirat. Apabila anak-anak melangkah pergi dan hampir kembali ke rutin asal- maka perkiraan ini kembali bersama kesedihan melambai pergi ramadhan dan aidil fitri.

Ya Allah. Aku kembali mendaftar diri menjadi pekerjaMu. Akan kusambung tugas harianku, mengingati diriku dan orang lain mengenai hakikat kehidupan. Akan ku ajak semua orang bersama mencari bekalan akhirat. Bantulah kami  ya Allah.

Semoga tiada yang ku kenali dan ku sayangi tercicir dalam perjalanan ini. Semoga tiada yang tersangkut dan terpaksa transit di neraka- lindungilah- ya ALlah. Semoga semua melalui perjalanan yang mudah menuju kepadaMu Ya Allah. Selamatkanlah murid-muridku yang masih belum Islam beserta keluarga n keturunan mereka yaAllah. Kekalkanlah dan tambahkanlah hidayah kepada semua yang ku kenali sehingga kami selamat bertemu Mu Ya Allah. bantulah kami ya Allah- berilah curahan hidayah yang tidak putus putus – lindungilah kami dari kelekaan dunia dan kejahatan diri kami sendiri. Setelah kami mati nanti- kau lindungilah perjalanan kami sehingga selamat bertemuMu dalam keredhaanMu Ya Allah.