Archive for the ‘muhasabah’ Category

Post raya blues- masih?

Masa kecil dahulu, saya dan kakak akan duduk di tangga rumah pada petang raya dan merenungkan kesedihan kami. “Masa petang rayalah masa paling tak best” kata saya yang kecil dahulu; “Sebab ni lah masa yang paling lama sekali untuk sampai pula ke raya yang lagi satu”. Maka kami berdua pun ‘melengung’ bersedih bersama-  sambil mengingat-ingatkan jumlah duit raya sebagai penghibur.

Masa berlalu, dan tidaklah saya bersedih menunggu raya yang paling lama akan tiba- kerana pada usia 48,  ramadhan yang di dambakan, dan saya juga tahu- jika dipanjangkan umur,  Rejab akan menjelang esok lusa. Semoga tabiat baik yang belum berjaya dimantapkan pada ramadhan yang lalu, mampu diterapkan sedikit demi sedikit sebelum Rejab menjelma dengan lajunya.

Namun perasaan sedih dan ‘kosong’  tetap datang mengikut jadual – dan saya mengharap pada usia sepatutnya sudah matang, saya mampu menanganinya dengan cara yang lebih baik sedikit dari semasa saya berumur lapan tahun.

Perasaannya tidak datang pada petang  raya. Ia tiba sedikit pada petang pengakhir ramadhan semasameningatkan peluang mengaut pahala berganda sudah ditutup. Menyesali tabiat yang masih belum mampu dimantapkan dan memujuk hati mengingatkan beberapa tabiat yang sudah tertanam. Namun review ini berlaku laju dan ringkas dalam keriuhan bersalaman dan bertanya khabar  saudara yang jauh yang sama-sama berkumpul di rumah ibu. Terbang melintasi fikiran wajah-wajah arwah. ayah (dengan wajah rekaan sendiri kerana beliau meninggal semasa saya bayi), nenek- semasa wajah ceria beliau, ibu dan ayah mertua- tak sempat pun menghadiahkan fatihah pada detik tersebut- sekadar perasaan puas hati kerana menjangkakan mereka beroleh manafaat dari sedekah-sedekah disepanjang ramadhan. Agaknya begitulah ingatan anak-anak kepada kita nanti di akhir ramadhan. Maka nadiyah dan bakal bakal mayat semua- carilah bekal akhirat sendiri agar dapat pahala mengalir sendiri, dan berharaplah  belas ehsan dari Allah. Janganlah kita meletakkan pergantungan untuk sedekah dari anak-anak kelak!)

Berbalik ke perasaan sedih- ia juga tidak datang pada petang raya lagi, kerana tiga empat hari sibuk dengan urusan silaturraheem, abang akak sendiri, anak-anak menantu, kawan lama sekampung yang baru berjumpa semula, saudara serumpun yang perlu dikenal semula anak cucu mereka kerana masing-masing bertambah ahli.

Post raya blues sekarang tiba  pada hari anak-anak dewasa pulang semula ke tempat mereka.

Kakak Iman sudah menaiki keretai  malam semalam, Abang Mat, Kakak Najat n incoming baby akan menaiki feri pagi ni. Isa dan Ibrahim  sudah diarah mengemas beg untuk ke asrama masing-masing – mereka sedang berlumba ‘last kopek’  me laptop. Hikmah – pembantu akademik – sedang naik bas menuju ke sini. Anak raya pulang ke tempat kerja. Anak kerja pula meninggalkan ibu bapa dan kembali ke ibu kerja mereka. Hidup kembali ke rutin asal.

Saya memproses kesedihan ini.

Tidaklah pada umur ini menyesali keseronokan yag berlalu kerana raya bagi dewasa sangatlah meletihkan dan lebih kerap mengundang ‘escapism’ ke celah mana-mana ruang untuk mencuri tidur sebelum dipanggil menyelamatkan dari kerenah anak, membancuh air tamu, atau bersosial melayan tamu.  Pulang ke rutin kerja juga tidak pernah membosankan kerana  bagi dewasa – kerjalah mainan kita.

Saya kira ia bukannya kesedihan merenungkan sambutan raya berlalu, tetapi syahdu yang timbul pada masa transisi. Masa-masa begini mengingatkan kita tentang lajunya berlalu masa- dan kita mengukur apakah kita telah menggunakan sepenuhnya untuk memenuhi tujuan asal hidup – untuk berjuang mendapatkan keredhaan Allah dan bersama seramainya selamat  jika ditempatkan di syurga kelak.

Adakah anak-anak dewasa saya sedar akan tujuan hidup, atau adakah mereka terleka mengejar dunia? Adakah kita juga serupa dengan mereka? Tidak mustahil kita sedang menangisi orang lain bermimpi- sedangkan rupanya, kita juga sedang dalam mimpi. Adakah anak-anak kecil mampu membentuk diri mereka sehingga boleh menjadi dewasa Muslim yang akhirat conscious? Semua ini, telah terluut sebentar semasa ramadhan dalam kesibukan mengatur jadual hidup padat ramadhan, terlupa juga pada saat menyambut aidil fitri dengan kesibukan menguhubungkan silaturrahim berselirat. Apabila anak-anak melangkah pergi dan hampir kembali ke rutin asal- maka perkiraan ini kembali bersama kesedihan melambai pergi ramadhan dan aidil fitri.

Ya Allah. Aku kembali mendaftar diri menjadi pekerjaMu. Akan kusambung tugas harianku, mengingati diriku dan orang lain mengenai hakikat kehidupan. Akan ku ajak semua orang bersama mencari bekalan akhirat. Bantulah kami  ya Allah.

Semoga tiada yang ku kenali dan ku sayangi tercicir dalam perjalanan ini. Semoga tiada yang tersangkut dan terpaksa transit di neraka- lindungilah- ya ALlah. Semoga semua melalui perjalanan yang mudah menuju kepadaMu Ya Allah. Selamatkanlah murid-muridku yang masih belum Islam beserta keluarga n keturunan mereka yaAllah. Kekalkanlah dan tambahkanlah hidayah kepada semua yang ku kenali sehingga kami selamat bertemu Mu Ya Allah. bantulah kami ya Allah- berilah curahan hidayah yang tidak putus putus – lindungilah kami dari kelekaan dunia dan kejahatan diri kami sendiri. Setelah kami mati nanti- kau lindungilah perjalanan kami sehingga selamat bertemuMu dalam keredhaanMu Ya Allah.

Advertisements

Baru diuji sedikit, sudah menggelabah

Saya antara orang yang dianugerahkan Allah kesihatan yang elok, hampir tidak pernah sakit. Kesihatan juga merupakan ujian dari Allah dalam bentuk ujian positif. Jika kita tidak berhati-hati, kesihatan yang berpanjangan akan menyebabkan kita keras hati dan mudah sombong. Antara manusia yang diuji dengan kesihatan yang berpanjangan adalah Firaun, dimana dikatakan bahawa dia tidak pernah sakit atau demam sehinggakan timbul perasaan dan sangkaan diri bahawa dia adalah tuhan kepada sekelian rakyatnya.

Saya tidaklah terlalu perasan seperti Firaun, kerana sakit lutut dan lenguh selalu juga datang menjengah, cukup untuk melembutkan hati. Namun  timbul juga satu dua perasaan yang tidak elok yang perlu saya betulkan, takutkan ia mengganggu hubungan dengan Allah. Perasaan pertama adalah merasakan bahawa orang yang sakit itu beruntung kerana mereka mendapat pahala dua kali ganda, iaitu pahala bersabar, dan pahala tetap beramal dalam menempuh dugaan. Walaupun tidaklah ke tahap meminta sakit, saya selalu seronok mendengar cerita-cerita orang yang sakit yang terus istiqamah menjalankan kerja-kerja dakwah dan meningkatkan amalan mereka. Antara yang saya sangat hormati adalah sahabat saya allahyarham Ustazah Kak Mi. Beliau disahkan mengidap sakit kanser payudara selama setahun sebelum dijemput menemui Allah. Sepanjang saya menziarahi belaiu, saya kagum dengan peningkatan amalan beliau yang dilakukan secara  santai, tanpa kekok atau segan silu. Kata beliau; “Kak Mi bersyukur kerana diberi peringatan awal mengenai kematian. Maka Kak Mi mengambil peluang ini untuk betul-betul menyediakan diri untuk berjumpa ALlah. Berapa orang yang diberi peluang begini?”

Saya kagum melihat beliau, dan seolah-olah seperti teringin pula jika diberikan ‘amaran awal’ yang serupa.

Namun, saya juga melihat beberapa orang sahabat saya yang juga telah diberi amaran awal, mereka tidak seperti Ustazah kak Mi.  Saya seperti tidak puas hati apabila melihat reaksi mereka yang menurut penilian saya pada masa itu- tidak mencapai tahap memuaskan. Seorang terlalu memikirkan kesedihan dan masalah rumahtangga dan seolah-olah membawa rajuk diri, “biarlah aku mati, nanti mereka akan meresa sedih dan bersalah”. Malangnya, kematian kita  hanya memberi kesan kepada kita, dan pihak yang kita inginkan rasa bersalah dan bersedih malah meneruskan saja kehidupan seperti biasa, tidak nampak pun di riak penyesalan atas kematian beliau.  Seorang lagi seperti tidak mahu menerima kematian. Katanya, “Saya memohon kepada Allah masa yang lebih kerana saya ingin terus melihat anak-anak membesar hingga dewasa.”  Tidak semua permohonan kita dimaqbulkan oleh Allah, beliau tetap pergi meninggalkan anak-anak yang kecil. Saya seperti kecewa dengan obsesi beliau pada saat saat akhir. menurut saya pada masa tersebut; kenapa tidak menghabiskan masa-masa terakhir yang berharga untuk berdakwah  dan berpesan kepada orang lain? Saya fikirkan jika seseorang yang bakal meninggal berpesan kepada yang masih hidup, tentu sekali pesanan tersebut membawa impak yang lebih setelah beliau meninggal nanti.

Seorang lagi pula, menghabiskan hari-hari akhirnya menurut saranan barat- menghidu udara segar, dan menikmati kehidupan. Maka post Facebook beliau dipenuhi dengan  cerita-cerita pengalaman spa, sauna, makan di restoran ini dan itu. Saya seperti menyesalkan cara penggunaan masa beliau. Betul, beliau manusia yang tabah menghadapi penyakit, dan sentiasa bersyukur atas apa saja niamat yang dirasai setiap hari, tetapi kenapa tidak menggunakan masa sebaiknya untuk berdakwah dan mengajak orang lain mengingati kematian? Beliau sendiri jarang menyebut mengenai kematian sedangkan beliau menulis sehingga ke saat akhir.

Itulah reaksi saya yang selalu sihat dan agak keras hati terhadap rakan-rakan (walaupun alhamdulillah, tidak sekeras hati Firaun).

Mungkin Allah telah membuat keputusan ini masanya saya meningkatkan sedikit pembelajaran mengenal diri dan mengenal manusia. Maka Allah anugerahkan saya beberapa pengalaman sakit. Semuanya sakit yang main-main saja di  mata orang lain, kalau ke hospital pun,mungkin digelakkan saja.  Tersalah urat- sedikit saja tapi berkali-kali dan berturut turut. Demam, sakit kulit, dan yang terakhir- gastrik. Namun bagi saya, ini pengalaman yang betul-betul mengajar diri ini. Sakit berpanjangan yang tidak boleh dikurangkan atau lari darinya. Sakit yang tidak tahu puncanya.  Keletihan dan mengantuk yang teramat sangat, tetapi tidak boleh berbaring, maka saya perlu tidur duduk di atas kerusi. Hasil dari pengalaman-pengalaman ini, saya mendapati beberapa perkara mengenai diri saya- dan mula memahami manusia lain.

1) Kita apabila sakit, terus turun motivasi untuk mengekalkan amal. Lupakan solat sunat, sonat wajib juga cukup setakat fatihah, kalau boleh dijama’ atau diqadha saja- mahu ditolak saja ke hadapan tunggu nanti sihat.

2)Kita apabila sakit, tak berminat lagi memikirkan mengenai orang lain- apatah pula untuk menghabiskan masa dan tenaga membantu mereka. Timbul perasaan, lantak dengan orang lain, aku perlu selamatkan diri ku dari kesakitan ini.

3)Kita apabila sakit, berat sekali untuk redha dan bersabar. Lupakan mengenai doa mendapt hidayah dan keselamatan akhirat. Kita kalau dalam kesakitan, yang timbul cuma doa, Allah- hilangkan kesakitan ini!

4)Kita apabila sakit sedikit, jadi takut untuk mati! Timbul fikiran, kalau sakit yang dikatakan  ‘minor’, dan tidak bahaya, dah dirasakan berat sebegini, bagaimana aku mampu menghadapi sakitnya mati nanti? Timbul pula reaksi, Allah- aku tak mahu sakit, aku takut  untuk mati.

Setelah saya sakit, barulah saya sedari bahawa reaksi dari sahabat-sahabat saya tadi adalah normal, dan kemungkinan jika saya diuji seperti mereka, kemungkinan besar reaksi saya lagi kurang kualiti dari reaksi mereka. Individu seperti Ustazah Kak Mi- itu adalah individu terpilih. Tidak pernah sekali saya mendengar beliau mengeluh kesakitan. Semasa terkahir saya menziarahi beliau di hospital, sehari sebelum beliau dijemput, saya mendengar beliau mengerang- masih tanpa keluhan. Kemudian beliau berbincang sengan saya untuk mendapatkan kepastian mengenai kaifiat solat dalam keadaan belaiu sedemikian.

Saya masih menyanjung dan menghormati kekuatan Ustazah Kak Mi, tetapii saya tahu sekarang untuk tidak lagi menginginkan ujian seperti apa yang diberi kepada beliau. Saya juga telah mengubah fikiran terhadap sahabat-sahabat saya yang  tidak sehebat Ustazah Kak Mi, saya tidak berani lagi memandang rendah reaksi mereka, kerana saya tahu jika saya diuji, saya akan menunjukkan prestasi yang jauh lagi rendah dari mereka.

Teringat saya kepada doa dalam mathurat yang perlu saya hayati  dengan lebih mendalam lagi;  “Ya Allah, janganlah kau bebankan kami dengan bebanan yang tidak sanggup kami pikul, maafkanlah kami, ampunilah kami, rahmatilah kami…….”

Semoga Allah melembutkan lagi hati saya dengan pengalaman sakit ini, dan semoga Allah menyembuhkan  saya sepenuhnya dan meningkatkan lagi semangat juang di masa sihat, tetapi dengan hati yang lembut seperti semasa sakit.. Amiin ya Rabbal aalamiin!

Sabbatikal

ha ha, found this draft in the bin, wrtitten in Jan- and look what’s written in it- NOTHING! That just shows how wonderful my sabbatical was, when the time flew so fast that I did not manage to put even one word in.

 

I am posting this anyway. Hello, it’s almost a month past my sabbatcial already and I am supposed to submit my book, which as it is now is… errr unfinished (actually it’s  nearer to just started.. but please don’t tell anyone from my workplace… shhh) I’m gonna pretend to give it a few finishing touch (make a mad dash of  marathon typing)

pray for me, everybody!